Monday, 31 December 2012

Posted by MuHaMmAd sYaZwAn On 12:52


 Rasulullah s.a.w.  telah bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barangsiapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya." (Tabyinul Mahaarim) Rasulullah s.a.w.  telah bersabda bahawa : "10 orang solatnya tidak diterima oleh Allah s.w.t., antaranya :

1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.
2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.
3. Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmum membencinya.
4. Orang lelaki yang melarikan diri.
5. Orang lelaki yang minum arak tanpa mahu meninggalkannya (Taubat).
6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.
7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.
8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menganiaya.
9. Orang-orang yang suka makan riba'.
10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar."



Sabda Rasulullah s.a.w.  yang bermaksud : "Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah s.w.t. dan jauh dari Allah s.w.t.."  
Hassan r.a berkata : "Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk."

Saturday, 25 August 2012

Posted by MuHaMmAd sYaZwAn On 19:14
Setiap manusia itu tidak lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Sukarnya seseorang untuk memaafkan saudaranya lantas terus menghina saudaranya itu atas kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Apakah penghinaan atau kemaafan yang terbaik buat seseorang yang melakukan kesilapan??

Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.

(Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”
(Surah Al-Hujurat:11)

Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang menghina seseorang kerana dosa yang pernah dilakukannya, maka ia tidak akan mati sebelum melakukan dosa tersebut.”
(HR. Tirmizi)

“Orang yang tidak suka menghormati orang lain, adalah orang yang tidak terhormat. Orang yang dihinakan itu belum tentu dia akan hina atau tidak, tetapi perbuatan menghinakan orang itu sudah menjadi bukti atas kehinaan diri kita sendiri.”
(Hamka)

“Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam Allah menutup keaibannya di dunia dan di akhirat”.
(HR. Muslim, Ahmad dan Abu Daud)

“Bukanlah seorang beriman itu seorang yang suka mengecam, suka melaknat, suka mengeluarkan kata buruk dan kesat”.
(HR. Bukhari dan Ahmad)

Firman Allah SWT:
“Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”
(Surah Ali-Imran:134)

Kemaafan adalah dendam terindah buat saudaramu yang melakukan kesilapan. Tidak ada manusia yang sempurna dan maksum sehingga tiada satu kesalahan pun yang dilakukannya terhadap saudaranya melainkan ‘Nabi Muhammad SAW.

Tiada manusia yang sempurna melainkan saling menasihati antara satu sama lain bagi memperbetulkan kesilapan dan memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik.

“Tidaklah dapat kita mengenal orang melainkan pada tiga keadaan, iaitu tidak dapat diketahui orang pemaaf melainkan ketika dia marah, tidak dapat diketahui orang yang berani kecuali ketika dia berjuang dan tidak dapat dikenal seorang sahabat melainkan ketika kita dalam kesusahan.”
(Luqman Al-Hakim)

Mulailah kemaafan itu dari diri kita sendiri dengan memafkan kesalahan yang pernah dilakukan oleh saudara kita.

Firman Allah SWT:
“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu?”
(Surah an-Nur : 21)

Sunday, 24 June 2012

Posted by MuHaMmAd sYaZwAn On 11:20


Hukum meninggalkan solat fardu dengan sengaja tanpa keuzuran yang dibenarkan oleh syarak adalah haram dan berdosa besar.

Pelaku wajib segera memohon keampunan kepada Allah (istighfar) dan bertaubat. Jumhur ulamak mengatakan wajib qada' (ganti) solat tersebut. 

Nabi shalallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Perjanjian di antara kita orang Islam dan orang kafir ialah solat dan sesiapa meninggalkan solat sesungguhnya dia telah menjadi seorang kafir. (HR al-Tirmidzi)


Nabi shalallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Sesungguhnya yang membezakan antara seseorang dengan kesyirikkan dan kekufuran adalah dengan meninggalkan solat". (HR Muslim)


Diterangkan oleh An-Nawawi bahawasanya orang yang meninggalkan solat dengan menolak atau mengingkari kewajipan solat, dipandang telah menjadi kafir, telah terkeluar dari Islam. (ijma' ulamak Islam).

Jika dia meninggalkan solat kerana malas atau lalai tetapi masih mengi'tikadkan kewajiban solat itu atas dirinya, maka Imam Malik dan Asy Syafi'i menetapkan bahawa orang itu tidak kafir, hanya dipandang fasik (melakukan dosa besar) dan disuruh bertaubat. Jika dia tidak mahu bertaubat, nescaya dibunuh, selaku suatu hukuman yang mesti dijalankan.

Segolongan ulamak salaf, diantaranya Ahmad dan Ishaq menetapkan bahawa orang yang meninggalkan solat telah kafir dan dihukum bunuh selaku seorang kafir.

Abu Hanifah dan al-Muzany menetapkan bahawa orang yang meninggalkan solat tidak dikafirkan dan tidak dibunuh, hanya dipenjarakan dan dita'zirkan sehingga dia kembali mengerjakan solat.


Tuesday, 13 March 2012

Posted by MuHaMmAd sYaZwAn On 23:53

Pada zaman sekarang, bersalaman tangan antara laki-laki dengan perempuan hampir sudah menjadi tradisi. Tradisi hina itu meruntuhkan akhlak Islam yang mesti ditegakkan. Bahkan mereka menganggap kebiasaan itu jauh lebih baik dan lebih tinggi nilainya daripada syariat Allah yang mengharamkannya. Sehingga jika ada seorang daripada mereka berbincang tentang hukum syariat, dengan dalil-dalil yang kuat dan jelas, tentu serta merta ia akan menuduh anda sebagai kolot, ketinggalan zaman, kaku, susah untuk didekati, ekstrim, hendak memutuskan silaturrahim, menggoyahkan niat baik....dan sebagainya.

Sehingga dalam masyarakat kita, berjabat tangan dengan sepupu, ipar, biras,isteri bapa saudara(mak saudara), suami ibu saudara(bapa saudara) lebih mudah daripada minum air.

Seandainya mereka melihat secara jernih dan penuh pengetahuan tentang bahaya persoalan tersebut menurut syara' tentu mereka tidak akan melakukan hal tersebut.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Sungguh ditusuknya kepada salah seorang dari kalian dengan jarum besi lebih baginya daripada ia menyentuh wanita yang tidak halal baginya."
-hadis riwayat Ath Thabrani-

Kemudian tidak diragukan lagi, hal ini termasuk zina tangan, sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
"Kedua mata berzina, kedua tangan berzina, kedua kaki berzina dan kemaluan pun berzina."
-hadis riwayat Ahmad-

Dan, adakah orang yang hatinya lebih bersih dari hati Muhammad S.A.W ? Namun begitu, beliau mengatakan:
"Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan wanita"
-hadis riwayat Ahmad-

Beliau juga bersabda:
"Sesungguhnya aku tidak menyetuh tangan dengan wanita"
-hadis riwayat Ath Thabrani-

Dan dari Aisyah R.A, dia berkata:
"Dan demi Allah, sesungguhnya tangan Rasulullah S.A.W tidak pernah menyentuh tangan perempuan sama sekali, tetapi beliau membai'at mereka dengan perkataan."
-hadis riwayat Muslim-

Hendaknya takut kepada Allah, orang-orang yang mengancam cerai isterinya yang solehah kerana tidak mahu bersalaman tangan dengan lawan jenis meskipun memakai alas hukumnya tetap HARAM..Wallahua'lam

Friday, 10 February 2012

Posted by MuHaMmAd sYaZwAn On 18:27

Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah, tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah :
"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan telti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.
Wahai Manusia Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam Susana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.
Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.
Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU.