Tuesday, 13 March 2012

Posted by MuHaMmAd sYaZwAn On 23:53

Pada zaman sekarang, bersalaman tangan antara laki-laki dengan perempuan hampir sudah menjadi tradisi. Tradisi hina itu meruntuhkan akhlak Islam yang mesti ditegakkan. Bahkan mereka menganggap kebiasaan itu jauh lebih baik dan lebih tinggi nilainya daripada syariat Allah yang mengharamkannya. Sehingga jika ada seorang daripada mereka berbincang tentang hukum syariat, dengan dalil-dalil yang kuat dan jelas, tentu serta merta ia akan menuduh anda sebagai kolot, ketinggalan zaman, kaku, susah untuk didekati, ekstrim, hendak memutuskan silaturrahim, menggoyahkan niat baik....dan sebagainya.

Sehingga dalam masyarakat kita, berjabat tangan dengan sepupu, ipar, biras,isteri bapa saudara(mak saudara), suami ibu saudara(bapa saudara) lebih mudah daripada minum air.

Seandainya mereka melihat secara jernih dan penuh pengetahuan tentang bahaya persoalan tersebut menurut syara' tentu mereka tidak akan melakukan hal tersebut.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Sungguh ditusuknya kepada salah seorang dari kalian dengan jarum besi lebih baginya daripada ia menyentuh wanita yang tidak halal baginya."
-hadis riwayat Ath Thabrani-

Kemudian tidak diragukan lagi, hal ini termasuk zina tangan, sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
"Kedua mata berzina, kedua tangan berzina, kedua kaki berzina dan kemaluan pun berzina."
-hadis riwayat Ahmad-

Dan, adakah orang yang hatinya lebih bersih dari hati Muhammad S.A.W ? Namun begitu, beliau mengatakan:
"Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan dengan wanita"
-hadis riwayat Ahmad-

Beliau juga bersabda:
"Sesungguhnya aku tidak menyetuh tangan dengan wanita"
-hadis riwayat Ath Thabrani-

Dan dari Aisyah R.A, dia berkata:
"Dan demi Allah, sesungguhnya tangan Rasulullah S.A.W tidak pernah menyentuh tangan perempuan sama sekali, tetapi beliau membai'at mereka dengan perkataan."
-hadis riwayat Muslim-

Hendaknya takut kepada Allah, orang-orang yang mengancam cerai isterinya yang solehah kerana tidak mahu bersalaman tangan dengan lawan jenis meskipun memakai alas hukumnya tetap HARAM..Wallahua'lam

Friday, 10 February 2012

Posted by MuHaMmAd sYaZwAn On 18:27

Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah, tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah :
"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan telti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.
Wahai Manusia Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam Susana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.
Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.
Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU.


Monday, 23 January 2012

Posted by MuHaMmAd sYaZwAn On 10:21



*
Kita tidak tahu bilakah masanya kita akan mati.

Hanya Allah jua yang maha mengetahui.

Adalah lebih selamat jika kita sentiasa bersedia untuk mati.


Antara persediaan yang boleh dilakukan :

- Sentiasa melakukan amalan yang memberi pahala.

- Sentiasa jauhi dari melakukan dosa.

- Sentiasa bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah.

- Mohon maaf dari orang yang kita ada kesalahan.

- Sediakan wasiat.

- Banyakkan amal jariah.

- Ajarkan ilmu yang bermanfaat.

- Didik anak agar menjadi anak soleh dan solehah.

- Lunaskan hutang piutang.

- Lazimkan zikir La ila ha illAllah moga menjadi akhir kalam nanti.

- Sentiasa berperasaan khauf dan raja' (harap-harap cemas).

- Sentiasa berbaik sangka kepada Allah. Klik Sini


Rasulullah bersabda maksudnya: "Apabila mati anak Adam maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara iaitu: 1. Sedekah jariahnya 2. Ilmu yang bermanfaat 3. Anak yang soleh yang akan mendoakannya." (HR Muslim)

Dari Abu Ya'la Syaddad bin Aus ra. dari Nabi saw, beliau bersabda: Orang yang CERDIK ialah orang yang selalu menjaga dirinya dan beramal untuk bekalan sesudah mati.(HR Tirmidzi)

"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Barangsiapa yang terjauh daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Friday, 9 December 2011

Posted by MuHaMmAd sYaZwAn On 12:12

Surah al-Fatihah ada tujuh ayat. Kalau kita lihat, tujuh ayat dalam Al-Fatihah itu dirangkapkan dua ayat, dua ayat. Ia seolah-olah berbentuk sajak. Hujungnya disamakan iaitu sama ada huruf mim atau huruf nun di akhir setiap ayat. Ada ayat yang berakhir dengan ‘mim’ dan ada ayat yang akhirnya dengan ‘nun’. Ayatnya seolah-olah bahagian akhirnya dipasang-pasangkan.
Sebenarnya dalam jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh ini, ada hikmah yang besar. Secara isyarat, ia ada hubungan dengan manusia dan dengan ciptaan Tuhan.
Antaranya ialah:
  • 1. Tujuh ayat menggambarkan tujuh hari dalam seminggu
Dalam tujuh hari itulah sama ada manusia hendak jadi jahat atau jadi baik, dapat rahmat atau dapat laknat, dapat bahagia atau celaka, jadi kafir atau jadi mukmin, kaya atau susah, sakit atau sihat. Apakah ada hari yang lain selain daripada tujuh hari itu (yakni Ahad hingga Sabtu)? Tentu tidak. Ertinya dalam masa seminggu, kalau seseorang itu benar-benar menghayati Al Quran; yang intipatinya ada dalam tujuh ayat Fatehah itu, sehingga ia benar-benar berperanan dalam hidupnya, maka dalam seminggu itu dia boleh selamat. Kalau Fatehah tidak berperanan pada dirinya dalam seminggu, maka akan kena laknatlah dia. Huru-hara, haru-biru dan celakalah hidupnya.
  • 2. Tujuh ayat berkait dengan tujuh anggota badan
Dalam seminggu itu sama ada manusia jadi baik atau buruk, ditentukan oleh anggota yang tujuh. Sebab itu dalam sembahyang; yang mana sembahyang itu adalah rukun Islam yang kedua; kesemua tujuh anggota ini terlibat atau digunakan. Kalau agama lain, mereka menyembah Tuhan tidak melibatkan semua anggota. Sebaliknya dalam ajaran Islam, semua anggota terlibat untuk tunduk dan patuh kepada Tuhan.
Ketujuh-tujuh anggota itu ialah:
a.) Kepala – ini termasuklah anggota-anggota yang ada di kepala seperti mata, mulut, telinga, lidah dan lain-lain. Kegunaan kepala pula ada bermacam-macam jenis.
b.) Dua tangan – ia juga banyak peranannya. Ia boleh berbuat baik atau berbuat jahat, boleh bunuh orang, boleh selamatkan atau celakakan orang.
c.) Kedua-dua lutut
d.) Kedua-dua tapak kaki
Dalam sembahyang, anggota-anggota sujud itu merupakan tujuh anggota penting tubuh manusia. Semuanya terlibat dalam solat. Dalam doa Iftitah kita menyebut, “Hidupku dan matiku adalah untuk Allah.” Ertinya semua anggota yang penting dalam diri kita ini secara tidak langsung sudah kita ikrarkan bahawa kita serahkan pada Allah. Ertinya kita akan menggunakannya ke jalan Allah sebagaimana yang Allah kehendaki. Oleh itu kalau kita sedari dan hayati, apa yang disebut dalam bacaan melibatkan juga anggota dalam perbuatan.
  • 3. Tujuh ayat berkait dengan tujuh Neraka dan tujuh Syurga
Al Fatehah ada tujuh ayat. Kalau intipati Quran dapat dihayati atau tidak dapat dihayati, itu yang akan menentukan nasib seseorang nanti sama ada Neraka yang tujuh atau Syurga yang tujuh. Semua ditentukan oleh intipati Al Fatehah. Kalau Al Fatehah berperanan dalam hidupnya, dia akan dapat salah satu dari tujuh peringkat Syurga. Kalau tidak dapat dihayati dan tidak dapat dijadikan amalan hidup, dia akan masuk salah satu dari tujuh peringkat Neraka.
  • 4. Tujuh ayat itu juga menggambarkan di dunia ini ada tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi
Di langit ada macam-macam makhluk Allah yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Demikian juga dengan tujuh lapis bumi yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Ramai ahli sains yang membuat kajian sudah mengesahkannya tetapi ia setakat hubungan yang lahir.
Sebenarnya ia bukan sekadar hubungan yang lahir sahaja. Manusia bukan hanya berhubung dengan matahari, bulan dan bintang sahaja. Tidak juga hanya berhubungan dengan isi bumi, lautan, hutan, binatang, tanaman dan seumpamanya. Bahkan manusia juga berhubung rapat dengan makhluk yang ghaib seperti malaikat.
Malaikat juga menentukan hidup manusia. Kenapa? Sebab ia juga tumpang mendoakan manusia pada Tuhan dan ia juga boleh tumpang melaknat manusia. Tetapi hal yang ghaib ini ahli sains tidak dapat kesan. Mereka hanya mampu kesan yang lahir seperti hubungan matahari dengan manusia, hubungan bulan, pasang surut air laut, bintang-bintang dengan kehidupan manusia. Tentang malaikat, mereka tidak tahu.Padahal malaikat ikut campur tangan dalam menentukan keselamatan manusia. Mereka juga mendoakan dan memberi berkat dengan izin Tuhan. Mereka juga melaknat manusia dengan izin Tuhan kerana kederhakaan manusia. Perkara yang ghaib ini ahli rohani sahaja yang boleh kesan tetapi saintis tidak boleh kesan.
Selain malaikat, jin-jin juga ada hubungan dengan hidup manusia. Ini tidak dapat dikesan oleh ahli sains, tetapi boleh dikesan oleh ahli-ahli rohani. Apa maksud jin-jin juga terlibat? Jin itu hidupnya ditumpangkan dengan manusia. Dia bergaul dengan manusia. Oleh sebab itu, apa bahasa manusia itulah bahasa jin. Kalau di Malaysia menggunakan bahasa Melayu, jin pun bercakap dalam bahasa Melayu. Di Indonesia, jin bercakap bahasa Indonesia. Kalaulah di Malaysia ada jin yang berbahasa Indonesia, bermakna jin itu berasal dari Indonesia. Jin di negara Arab berbahasa Arab. Jadi jin tumpang bahasa manusia itu untuk menunjukkan manusia lebih mulia dari jin.
Selain itu, jin juga tumpang belajar dengan manusia. Firman Allah di dalam Al Quran:Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al Quran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan (nya) lalu mereka berkata, ‘Diamlah kamu (untuk mendengarkannya) .’ Ketika pembacaan itu selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan.” (Al Ahqaf: 29)
Mujurlah kita tidak nampak jin sebab kita tidak akan sanggup hendak melihatnya. Begitu juga soal makan. Jin kafir makan tulang-tulang haiwan yang disembelih oleh orang kafir. Jin Islam pula tumpang makan tulang-tulang binatang yang disembelih oleh orang Islam. Oleh sebab itu berhati-hatilah apabila membuang tulang. Buanglah pada tempatnya. Kalau tulang-tulang itu dibiarkan bersepah, jika ada jin yang datang untuk makan lalu terlanggar anak kita maka akan timbul masalah.
  • 5. Tujuh ayat ini kalau kita jadikan panduan, ia boleh didik nafsu kita yang tujuh peringkat.
Inilah hikmah terpenting dari jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh itu. Makin kita hayati, makin kita dapat mendidik diri dan nafsu kita. Bila dikategorikan, nafsu manusia ada tujuh peringkat iaitu:i. Nafsu ammarahii. Nafsu lawwamahiii. Nafsu mulhamahiv. Nafsu mutmainnahv. Nafsu radhiahvi. Nafsu mardhiahvii. Nafsu kamilah..
Isi Al Quran itu terkandung dalam Al Fatehah yang terdiri dari tujuh ayat. Nafsu ada tujuh peringkat dan ayat Al Fatehah juga ada tujuh. Itu bukan kebetulan. Hikmahnya adalah, kalau Al Fatehah ini dihayati, nafsu boleh menjadi baik. Nafsu itulah yang menentukan celaka atau bahagia, patuh atau tidak patuhnya kita pada Tuhan. Paling-paling lemah, Al Fatehah atau isi Al Quran ini dapat mendidik nafsu sampai ke peringkat mulhamah. Walaupun nafsu mulhamah ini masih belum mantap, masih goyang tapi itu pun dikira sudah baik. Itulah nafsu orang soleh. Manakala mutmainnah pula, ia peringkat nafsu yang sudah istiqamah, sudah tetap serta tidak mudah goyang.
Di sini juga dapat kita faham bahawa manusia akan bermula dengan nafsu yang paling jahat kepada nafsu yang paling baik kalau dia benar-benar mengendalikan nafsunya itu. Kalaulah manusia menghabiskan banyak masanya untuk mempelajari hal-hal yang berkaitan dengan nafsu dan mempraktikkannya, sesungguhnya manusia akan mampu meningkatkan dirinya dari tahap ke tahap. Dia akan dapat meningkatkan dirinya daripada bernafsu ammarah kepada lawwamah, mulhamah, mutmainnah dan paling tinggi akan sampai kepada mardhiah. Namun ada di kalangan manusia yang mampu sampai kepada nafsu kamilah; nafsu yang paling atas; iaitu para nabi dan rasul. Manusia biasa boleh menjangkau sampai nafsu mardhiah sahaja kalau dia sangat berusaha mengendalikan nafsunya.
Cara untuk kita mengendalikan nafsu hingga sampai ke taraf malaikat, itu semua mesti dirujuk kepada Al Quran. Ia tidak boleh dirujuk kepada ilmu jenis lain. Siapa yang boleh menguasai Al Quran sepenuhnya dan mempraktikkan Al Quran terhadap nafsunya, maka dia akan merasai bagaimana dia merangkak beralih dari satu tahap ke satu tahap. Hebatnya Allah kerana menciptakan dalam diri manusia, satu nafsu yang tidak boleh dilihat tetapi memang berperanan. Kalau manusia mahu, dia boleh mentadbir nafsunya itu. Tetapi untuk itu ianya mesti dirujuk kepada Al Quran.
Ayat Al Quran itu terlalu banyak, namun Allah yang Maha Bijak telah meminta kita memberi tumpuan kepada tujuh ayat sahaja. Kalau kita boleh mengambil tujuh ayat ini untuk kita kuasai segala kekuatan yang ada di dalamnya maka kita akan boleh mengendalikan nafsu kita. Yang sebenarnya kalau kita boleh kuasai tujuh ayat itu, kita boleh sampai ke peringkat ketujuh, yang mana nafsu itu boleh kita tadbir dan kuasai. Nabi-nabi boleh melakukannya hingga mereka sampai peringkat ketujuh itu.
Surah Fatihah Dibaca Dlm Setiap Solat
Allah yang menciptakan nafsu itu tujuh peringkat, tahu untuk memadankannya dengan tujuh ayat dari surah Al Fatehah itu. Allah SWT menetapkan kekuatan tujuh ayat Al Fatehah itu boleh mengendalikan tujuh peringkat nafsu itu walaupun sifatnya tidak sama. Namun kita seperti diberi amaran bahawa kebanyakan manusia tidak akan mampu untuk mengambil seluruh kekuatan Al Fatehah itu untuk memerangi nafsu sehingga peringkat tertinggi melainkan setakat mulhamah atau paling tinggi mutmainnah.
Maha Besar Tuhan yang mampu mencipta tujuh ayat yang dengan kekuatannya mampu berhadapan dengan tujuh peringkat nafsu. Saintis pun tidak pernah boleh mengesan kehadiran nafsu itu tetapi Allah boleh wujudkannya dan Allah berkata bahawa Dia membuatnya sebanyak tujuh jenis. Namun orang rohani yang diberi ilham oleh Allah boleh melihat kekuatan Al Fatehah ini yang dirangkum dalam tujuh ayat. Rupanya walaupun ilmunya ilham tetapi ia bersifat falsafah. Iaitu melihat keajaiban ciptaan Tuhan merangkumkan kekuatan 6,666 ayat itu ke dalam tujuh ayat sahaja yang mana ia boleh dipakai untuk mengendalikan tujuh peringkat nafsu. Ia bukan kebetulan. Seseorang yang dhaif dalam mengambil tujuh ayat ini maka dia akan dhaif dalam mengendalikan tujuh tahap nafsu itu.
Jadi di sini kita sudah nampak kebesaran Fatehah padahal baru memperkatakan kulit atau muqaddimahnya sahaja. Baru di pintu Fatehah, belum masuk ke dalam tetapi sudah nampak besar isinya. Oleh sebab itulah saya lebih suka mengatakan Al Fatehah itu ‘Surah Yang Dapat Kemenangan’ daripada menamakan ia ‘Surah Pembukaan’.
Kalau ulama masyhurkan Al Fatehah itu sebagai Surah Pembukaan kerana ia diletak di depan Al Quran, itu tidak salah tetapi bagi saya elok dimasyhurkan sebagai Surah Kemenangan sebab pengertiannya lebih luas. Ini kerana ia merangkumi semua kehidupan langit dan bumi, yang ghaib dan rohani seperti Syurga, Neraka, nafsu dan lain-lain. Tuhan sendiri dalam menamakan surah ini menggunakan isim fi’il – ‘yang telah mendapat kemenangan’. Lebih baik makna ini kita masyhurkan kerana Surah Fatehah itu menentukan seseorang itu mendapat kemenangan atau tidak sama ada di dunia mahupun di Akhirat. Agar dengan itu hidup ini dipandang berat dan tidak disia-siakan. Jangan dianggap semuanya kebetulan. Ia ada hubung kaitnya dengan hidup kita.
Subhanallah. Allahu Akbar! Mari kita sama-sama memperbanyakkan bacaan surah al-Fatihah setiap masa dan ketika. :)

Wednesday, 30 November 2011

Posted by MuHaMmAd sYaZwAn On 11:17

Syaitan adalah musuh kita yang nyata sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran yang merupakan ingatan Allah SWT.
Syaitan dicipta dari api oleh Allah S.W.T. dan juga dikatakan berasal dari golongan Jin sebelum dipilih menjadi Malaikat. Ini membezakannya dari malaikat-malaikat lain. Disebabkan iblis ini menentang perintah Allah, dia diusir dari golongan malaikat dan dari Syurga, kerana ingkar akan perintah Allah untuk sujud kepada Nabi Adam sebagai penghormatan ciptaan-Nya yang mulia. Menurut agama Islam, Tuhan meletakkan taraf manusia lebih tinggi daripada makhluk-makhluk yang lain kerana mereka diberikan akal – terutamanya untuk membandingkan yang buruk dari yang baik. Syaitan membangkang ciptaan Tuhan pada manusia dan mencegah dari menyujud di hadapan Adam seperti dilakukan oleh para malaikat lain. Tuhan bertanya kepada Syaitan: “Apakah yang mencegahmu sujud menghormati sesuatu yang telah Aku ciptakan dengan tangan-Ku?” Syaitan menjawab: “Aku adalah lebih mulia dan lebih unggul dari dia. Engkau ciptakan aku dari api dan menciptakannya dari lumpur.” Ini menunjukkan bahawa Syaitan merasa dirinya lebih bertaraf tinggi dari Adam kerana dia diperbuat dari api dan Adam diperbuat dari tanah, yang dianggap tidak bersih dan rapuh. Syaitan berjanji dan berkata di hadapan Tuhan, Nabi Adam dan para malaikat bahawa dia akan membinasakan Adam dan seluruh keturunannya (iaitu golongan manusia) sampai hari Akhirat kelak. Allah bersabda bahawa manusia yang mengikuti perintah-Nya tidak akan dibinasakan oleh Syaitan, tetapi yang mengikuti Syaitan akan turut dibinasakan dan diseksa di api neraka pada hari Akhirat.Syaitan juga yang memyebabkan Nabi Adam dan isterinya Siti Hawa terkeluar dari Syurga, walaupun mereka telah diampunkan oleh Allah, dan bisikannya menyebabkan anak mereka Qabil membunuh Habil.
Oleh itu bagi mengatasi godaan syaitan ini Imam Ghazali telah menukilkan di dalam kitab (Wasiat Imam Ghazali m/s: 129.):
  1. Kita mesti mengetahui segala tipu daya syaitan supaya syaitan tidak berani mengganggu kita.
  2. Anggaplah tipu daya syaitan suatu perkara remeh, jangan sama sekali kita mengambil perhatian, jangan mengambil hati di atas segala ajakan syaitan. Pasti syaitan tidak akan berupaya menggoda kita.
  3. Berzikir dengan lisan dan hati.
قال رسول صلى الله عليه وسلم
إن ذكر الله تعالى فى جنب الشيطان كألآكلة فى جنب ابن آدم
”Sesungguhnya zikrullah itu menyakitkan syaitan seperti menderitanya anak Adam dengan penyakit pemakanan yang bersarang di perutnya”.
Cara-cara yang Digunakan Syaitan untuk Menggangu Manusia
Mancung/Paruh Syaitan membuatkan manusia Lupa 
Sabda Muhammad Rasullullah: “Sesungguhnya syaitan itu meletakkan muncungnya diatas hati anak Adam, maka jika manusia ingat kepada Allah, maka mundurlah ia dan jika manusia itu lupa kepada Allah, dipatuklah hatinya”. (Hadis Riwayat Ibnu Jauzi)
Syaitan menangis 
Sabda Muhammad Rasullullah: “Apabila anak Adam membaca Surah Assajadah,lalu ia sujud,nescaya menyingkirlah syaitan sambil menangis dengan meratap: “Ah…Celakalah aku. Anak Adam disuruh sujud lalu ia sujud maka ia mendapat syurga, tetapi aku disuruh sujud maka membangkang, maka aku mendapat neraka”. (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Ibnu Majah)
Syaitan kencing 
Dari Ibnu Masud dia berkata: Diceritakan (Allah )kepada Nabi Muhammad SAW tentang seseorang lelaki yang tidur hingga Subuh (waktu Fajar Pagi), sabda Baginda: “Itulah orang lelaki yang dikencingi oleh syaitan pada kedua telinganya”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) (As-Syaikhan)
Syaitan tertawa(ketawa) 
Nabi bersabda bermaksud: “Apabila menguap salah seorang kamu dalam solat, maka hendaklah ia tutup mulutnya sedapat mungkin dan jangan ia mengucap “Ahhh…”,kerana sesungguhnya yang demikian itu dari syaitan dan ia tertawa kerananya.” (Hadis Riwayat Bukhari).
Syaitan mempunyai rambut dan janggut yang kusut: 
“Dari Atha bin Yasr dia berkata: Telah datangnya lelaki kepada Rasullullah SAW dalam keadaan kusut rambut dan janggutnya, maka Rasullullah memberi isyarat kepada lelaki itu, seakan-akan disuruhnya membereskan (meluruskan) rambut dan janggutnya. Maka orang itu mengerjakannya, kemudian ia kembali. Maka Rasullullah SAW bersabda: “Bukankah ini lebih baik darpada seseorang yang datang dengan kusut rambutnya seperti syaitan.” (Hadis Riwayat Malik)
Syaitan menyilangkan(mematah-matahkan) jari tangan: 
Nabi Muhammad Bersabda (memberitahu): Apabila salah seorang kamu berada di dalam masjid, maka janganlah sesekali menyilangkan(mematah-matahkan) jari tangan, kerana menyilangkan jari-jari tangan itu dari syaitan. Dan seorang kamu tetap dalam pahala solat selama ia berada di dalam masjid sehingga ia keluar darinya.”(Hadis Riwayat Ahmad).
Syaitan masuk dalam aliran darah manusia: 
Sabda Rasullullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam diri manusia mengikuti pejalanan darah. Oleh sebab itu, aku takut syaitan melontarkan sesuatu tuduhan atau satu kejahatan dalam hatimu”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) (as-Syaikhan)
Syaitan takut orang yang solat berjemaah: 
Sabda Nabi Muhammad yang bermaksud: “Jika ada tiga orang di desa atau di gunung yang tidak menunaikan solat berjamaah, nescaya mereka dikusai oleh syaitan. Oleh sebab itu, hendaklah kamu berjamaah kerana sesungguhnya serigala tidak akan memakan kambing melainkan yang terpisah sendiri dari rombongan”. (Hadis Riwayat Abu Daud).
Hentakan kaki syaitan menyebabkan wanita istihadhah (mengeluarkan darah haid secara berlebihan walaupun dalam keadaan sihat) 
Dari Amnah binti Jahsy bahawa ia keluar darah banyak dan deras(mengalir-ngalir) dari kemaluannya (darah istihadhah), lalu ditutup dengan kapas masih juga keluar dan ditutup dengan kain masih juga keluar. Rasullullah bersabda: “Sesungguhnya darah yang keluar deras itu adalah salah satu hentakan kaki dari hentakan-hentakan kaki syaitan.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abi Daud dan Tirmidzi)
Syaitan menghadang di saf solat. 
Sabda Rasullullah: “Apabila salah seorang kamu solat (sembahyang dengan memakai batas (Sutroh) (penghadang), lalu ada orang yang melintas di hadapannya (dalam kawasan solat, di bawah penghadang) maka hendaklah ia menghalanginya. Tetapi jika orang itu enggan (dalam keadaan curiga, melintasi dengan sengaja berulang kali) maka boleh orang itu diperangi (usir atau dibunuh), kerana dia itu tidak lain adalah syaitan”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) (As-Syaikhan)
Rasullullah SAW menangkap dan mencekik syaitan: 
“Ketika Nabi SAW akan melakukan solat, lalu datang kepadanya syaitan hendak memutuskan solatnya. Maka Nabi Muhammad SAW menangkapnya (syaitan itu) lalu mencekiknya sehingga keluar air liurnya di atas tangannya(Nabi).” (Diceritakan oleh Ibnu Qoyyim)
Syaitan kentut: 
“Apabila diseru untuk melakukan solat (laungan azan), maka mundurlah syaitan sampai terkentut sehingga ia tidak mendengarkan azan, maka selesai azan ia kembali lagi. Dan apabila akan berdiri solat(laungan iqamah), ia mundur lagi dan apabila selesai iqamah, ia datang kembali” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) (as-Syaikhan).
Syaitan menyelit disaf solat yang renggang: 
Sabda Muhammad Rasullullah: “Luruskan saf-safmu, rapatkan bahu-bahumu (dalam solat) dan berlaku lembutlah terhadap tangan-tangan saudaramu dan tutuplah tempat-tempat renggang kerana seungguhnya syaitan masuk (menyelitkan diri )pada celah-celahmu, bagaikan anak kambing yang menyelit di celah-celah induknya.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Thabrany)
Syaitan menghalangi khusyuk solat (menyempurnakan sembahyangnya). 
“Dari Aisyah berkata: Aku pernah bertanya kepada Rasullullah SAW tentang menengok dalam solat (melihat-lihat ke mana-mana arah tanpa perlu) maka sabda Nabi Muhammad SAW: “Itu adalah curian cepat yang dicuri syaitan dari hambaNya (Allah).” (Hadis Riwayat Bukhari, Ahmad, An-Nasai dan Abu Daud)(Hadis Sahih)
Sabda Rasullullah lagi yang bermaksud: “Akan datang syaitan pada seseorang kamu dalam solatnya, lalu syaitan mengingatkan kepadanya, keperluan begini dan begitu. Maka janganlah ia menurutinya. Dan syaitan datang pula pada waktu tidurnya, maka syaitan memberikan berita mimpi buruk padanya, maka janganlah diikutinya (mempercayainya)”. (Hadir Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)
Syaitan membuat mimpi buruk: 
Nabi Muhammad Rasullullah SAW bersada yang bermaksud: “Apabila seseorang kamu bermimpi yang tidak disukai (mimpi buruk), maka hendaklah ia meludah ke sebelah kiri tiga kali dan hendaklah membaca:
A’uzubillah hi minasyaitan nir rajim
maksudnya: “Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam”.
Dan hendaklah ia pindah dari lambungnya ketika hendak tidur yang ia sedang ada diatasnya”. (Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud, An-Nasai dan Ibnu Majah).
Syaitan mencelak mata. 
Syaitan akan mencelak mata para pendengar ceramah agama atau khutbah supaya para pendengar akan tertidur dan leka tidak menghayati apa-apa yang dikatakan oleh penceramah.
Syaitan mengincu bibir.
 Syaitan akan mengicu bibir para pendengar ceramah supaya dapat berbual-bual dengan temannya dan dapat mengeluar kata-kata kesat.
Syaitan akan mengetuk para pendengar ceramah dengan tongkatnya 
Agar dapat membuat bising dan tidak akan duduk diam, disamping membuat kacau dan kekalutan.
Banyak lagi propaganda yang telah dilakukan oleh syaitan untuk menyesatkan manusia supaya tidak dapat manusia itu berpaut kembali kepada tali akidah dan ajaran Allah yang tulus dan benar. Manusia diingatkan agar behati-hati menjalani kehidupan ini agar tidak terpedaya dengan dakyah-dakyah syaitan.
Tujuan Allah menciptakan syaitan adalah untuk menguji tahap keimanan manusia itu kepada Allah. Sesiapa yang terpedaya dengan ajakan syaitan Allah akan membalas dengan azab sensara yang pedih di dunia dan di akhirat. Manakala orang yang berbuat baik dan berjaya menyekat kejahatan syaitan, Allah akan membrikan penghargaan yang tidak erkira dan dibalas dengan Syurga dan kehidupan yang tetap berbahagia.
Allah tidak akan menguji manusia itu dengan berlebih-lebihan dari kemampuan orang itu sahaja. Syaitan merupakan salah satu bencana kepada orang yang ingkar kerana mereka akan terus mengikuti syaitan selagi mereka tidak mendapat restu dan inayah dari Allah.
Dikatakan juga orang yang dirasuki syaitan atau jin jahat sebenarnya adalah orang yang mempunyai kelemahan dalam iman disamping jiwa raganya yang kosong dan lemah rohani, zahir dan batinnya. Syaitan mudah untuk mendekati orang yang mempunyai sifat demikian dan menjadi penempatan(perumah) bagi syaitan.
Syaitan akan dimatikan oleh malaikat maut, Malaikat Izrail atas arahan Allah. Pada akhir zaman nanti setelah Allah membinasakan segala-galanya yang berada di alam buana dan semesta ini. Syaitan akan dihidupkan kembali untuk menerima janji Allah sebagai bahan bakar dalam neraka. Pada waktu itu peneman syaitan yang turut binasa adalah manusia dan jin yang ingkar dengan perintah Tuhan serta batu-batuan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Katakanlah(Wahai Muhammad):”Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia.Yang Menguasai sekalian manusia,Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, Dari kejahatan pembisik,penghasut yang timbul tenggelam,yang melemparkan hasutannya ke dalam hati manusia,(iaitu pembisik dan penghasut)dari kalangan jin dan manusia.“
(Surah An-Nas:ayat 1-6)